Thursday, 30 April 2015

Selamat tahun baru 2015 buat SPRM — Shamsul Iskandar


KITA melangkah ke tahun baru 2015 dengan penuh keinsafan, mengambil kira beberapa insiden bencana yang menimpa khususnya masyarakat di Pantai Timur amnya dan Kelantan khususnya. Pasti ia bukan sekadar satu bencana alam, tetapi lebih kepada malapetaka buat kalangan mereka yang terjejas teruk, sehingga kehilangan tempat tinggal dan sehelai sepinggang.

Sempena Tahun Baru 2015, tatkala ramai di kalangan kita menanamkan azam baru untuk merencana kehidupan, adalah wajar dan molek kiranya kita menghimbau apa yang telah diisi dan dilaksana sepanjang tahun 2014 untuk kita insafi dan perbaiki menjelang tahun 2015.

Dalam konteks ini saya terpanggil untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 buat Suruhanjaya Pencegaham Rasuah Malaysia (SPRM), dengan harapan agar mereka tidak terlepas pandang akan beberapa laporan yang telah dikemukakan oleh KEADILAN dan Pakatan Rakyat amnya atau saya khususnya, yang mana sepanjang pengamatan yang telah dibuat masih kekal di takuk lama tanpa sebarang tindakan.

Pertama sekali ialah siri-siri laporan melibatkan mantan Menteri Kewangan iaitu Tun Daim Zainuddin. Tidak kurang daripada tiga laporan telah dibuat pada awal tahun 2014 dan gesaan agar tindakan lanjut SPRM diambil juga telah dibuat berkali-kali. Atas justifikasi yang kukuh melalui perincian maklumat di dalam laporan yang telah dikemukakan, seakan-akan dibakulsampahkan oleh SPRM. Sejujurnya tindakan SPRM ini nyata sekali mendukacitakan dalam keadaan Tun Daim langsung tidam diambil sebarang tindakan hatta dipanggil untuk memberi keterangan lanjut. Maka timbul persoalan apakah pendakwaan selektif yang dituding ke atas agensi penguatkuasaan undang-undang termasuklah SPRM ini, merupakan satu kenyataan hakiki yang sebenar-benar berlaku dan bukan satu tudingan liar.

Kedua ialah laporan saya dan Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Melaka mengenai perbelanjaan perkahwinan anak mantan Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam yang dicanang-canang sebagai rekod kehadiran mencecah 130,000 tetamu. Pelbagai keraguan termasuklah notis mesyuarat persiapan majlis tersebut yang melibatkan ketua-ketua agensi kerajaan Negeri Melaka dan juga pengakuan oleh Tan Sri Mohd Ali sendiri yang majlis itu sekadar menelan belanja RM600 ribu. Kedua-dua fakta ini jelas tidak munasabah dan telah dikemukakan ke SPRM untuk tindakan lanjut, namun nyata sekali harapan tinggal harapan.

Dua kes ini, yang pastinya hanyalah dua di kalangan puluhan malah ratusan kes rasuah yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat, merupakan satu bukti jelas betapa SPRM melaksanakan pendakwaan selektif. Alasan ketiadaan dan ketidakcukupan bukti hanya alasan yang dikitar semula untuk mengabsahkan tindakan mereka menyelimuti salahlaku pimpinan Umno-BN dengan kuasa yang mereka ada.

Maka menginsafi jejak langkah di tahun baru 2015, sewajarnya SPRM bertindak serius untuk mengembalikan keyakinan rakyat ke atas akauntabiliti mereka selaku agensi yang berwajib dalam hal-hal pembanterasan rasuah.

Di saat indeks persepsi rasuah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan rendah malah lebih corot jika dibanding dengan negara-negara dunia ketiga, ini seharusnya menjadi tamparan buat SPRM di sebalik laungan mereka yang berkobar-kobar mahu membasmi rasuah, tetapi hanya berani memukat ikan bilis tanpa berani menangkap jerung yang bermaharajalela.

Komitmen saya dan Pakatan Rakyat adalah jelas: segala bentuk usaha penambahbaikan dan pemerkasaan SPRM dalam menangani isu rasuah akan senantiasa disokong tanpa gagal. Cuma seeloknya SPRM bermuhasabah agar mereka tidak dilihat condong kepada pihak tertentu demi menjaga periuk nasi sendiri.

Rasuah kekal musuh negara, maka SPRM harus menjadikan rasuah juga selaku musuh mereka yang dibidik dengan senjata yang ada. Moganya senjata yang ada tidak memakan tuannya sendiri, kerana dikhuatiri bukan sekadar rasuah menjadi musuh negara, sebaliknya SPRM juga kelak menanggung akibatnya dek persepsi rakyat yang kian hilang kepercayaan.

Selamat Tahun Baru 2015 buat SPRM. Berkhidmatlah dengan Bebas, laksanakan tugas dengan Telus, serta junjunglah amalan Profesional demi negara yang tercinta.

Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Naib Presiden KEADILAN

2 Januari 2015

Kongsi gelap: Tiga soalan untuk DS Zahid Hamidi

SEPERTI ramai di luar sana, saya terkejut membaca laporan berita bertajuk "Accused gambling kingpin Paul Phua 'assisting Malaysia on matters of national security'" yang disiar South China Morning Post pada 31 Disember 2014 (http://m.scmp.com/news/china/article/1637766/gambling-kingpin-paul-phua-accused-making-under-table-payment-macau).

Dalam laporan berita ini, South China Morning Post telah mendedahkan bahawa DS Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri telah secara rahsia menulis sepucuk surat (http://www.scmp.com/sites/default/files/uploads/2014/12/30/malaysialetter.pdf) kepada pihak FBI Amerika Syarikat menafikan bahawa Paul Phua Wei-seng adalah ahli kongsi gelap 14K dan memohon agar dia dibenarkan pulang ke Malaysia.

Sesiapa yang membaca laporan tersebut akan tahu bahawa Paul Phua sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menjalankan suatu operasi perjudian di Caesar's Palace Hotel, Las Vegas sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia pada pertengahan 2014. Beliau sebelum ini pernah ditahan di dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Paling memeranjatkan adalah kenyataan DS Zahid di dalam surat kepada FBI yang berkata bahawa Paul Phua telah "beberapa kali membantu Kerajaan Malaysia di dalam projek-projek berkaitan keselamatan negara".

Di sini saya ingin mengajukan tiga soalan untuk DS Zahid:

1) Adakah surat yang disiarkan South China Morning Post itu sahih dan benar?

2) Memandangkan perwatakan dan sejarah Paul Phua yang pernah ditangkap dan diusir dari Macau kerana aktiviti perjudian, apakah "projek-projek berkaitan keselamatan negara" yang dimaksudkan oleh DS Zahid ini? Mengapakah beliau dilibatkan?

dan

3) Mengapakah DS Zahid sanggup mempertahan seorang seperti Paul Phua yang jelas terlibat dengan aktiviti perjudian, tetapi diam seribu bahasa apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atas Dr Yusuf Al-Qaradawi, seorang ulama' muktabar yang disanjung tinggi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia malah Tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Kerajaan Malaysia?

Saya harap DS Zahid akan dapat memberikan penjelasan kepada soalan-soalan di atas, demi meleraikan keresahan di kalangan rakyat tentang isu ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

3 Januari 2015‎

Lindungi SKMM dari lantikan politik — AMK

SAYA merujuk laporan media yang mendakwa seorang ahli politik UMNO, Dr Mazlan Ismail mungkin dilantik untuk menggantikan Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini Dr Mazlan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum lalu dan tewas kepada Anwar Ibrahim.

Kontrak Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

Akhbar milik UMNO, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat. Ini tidak ada kena mengena dengan kelayakan Dr Mazlan.

Namun, kepentingan awam hanya akan dijaga dengan lebih baik sekiranya badan kawal selia yang penting dipimpin oleh seorang teknokrat.

Ini lebih-lebih lagi kepada badan sepenting SKMM yang mengawal selia media atas talian di Malaysia yang kian memainkan peranan penting.

Adalah penting semua keputusan dan tindakan SKMM dibuat tanpa sebarang keraguan yang dikaitkan dengan kepentingan dan sikap memihak secara politk.

Malah, seorang pengerusi baru yang bakal dilantik nanti mesti meastikan amalan kebebasan bersuara yang banyak dikekang di negara ini terus dihakis.

Oleh kerana itu, saya menggesa pihak bertanggungjawab dalam Kerajaan Persekutuan dan SKMM segera menjelaskan persoalan ini kepada orang ramai.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

IGP must not intervene in policy/political debates on Sedition Act — Surendran

I refer to IGP Khalid Bakar's remarks on Twitter that the Paris attacks shows that the Sedition Act is needed in our country.

Khalid's remarks are a desperate attempt to justify continued usage of the draconian and archaic Sedition Act 1948. His claim is without any logic or basis.

How can the Sedition Act possibly protect the country from terrorist attacks? Only good police work and intelligence gathering can prevent terrorist incidents from occurring.

On the contrary, the Sedition Act criminalizes legitimate criticism of the government and the authorities. For example, why are the police now investigating PKR Adun Haniza Talha merely for questioning the federal budget allocation for Permata? Can the IGP answer this?

It is even more disturbing that the IGP has chosen to interfere in the ongoing dispute between the BN and the Opposition/ civil society on the retention and use of the Sedition Act.

The IGP, as a top civil servant, has no business to publicly intervene in policy or political matters. The IGP's job is strictly confined to law enforcement.

His interference in policy matters outside his ambit will only further tarnish and damage the reputation of the police force.

Issued by,
N Surendran
MP for Padang Serai,
Political Bureau Member, Keadilan

10 January 2015

Mesej blogger Din Sharpshooter dari penjara











ASSALAMUALAIKUM


Salam Reformasi





Jika mereka fikir dengan memenjarakan saya, saya akan patah semangat, ternyata mereka silap orang.





Biarpun pada malam pertama saya dihumban di Block Damai bersama 9 orang penjenayah, bilik tiada lampu, tiada air, makanan selayaknya untuk anjing dan kucing, ini sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang.





Keesokannya saya dipindahkan ke Block INSAF bilik 34, betul² ‎bersebelahan dengan bilik hukuman gantung sampai mati. Bilik tersebut juga tiada air. Sehinggalah hari selasa, saya dipindahkan ke blok RSD (Klinik Penjara).





Semasa di blok INSAF saya diasingkan atas ketegori keselamatan. Di blok RSD pun saya diasingkan seorang diri.





Saya mulai berpuasa ‎hari isnin, hanya berbuka dan sahur dengan biskut kering dan air paip namun saya lebih terbayang dan terkenang nasib mangsa banjir di Kelantan dan Pahang yang teruk mereka alami, semoga mereka tabah hadapi ujian ini.





Terima kasih saya ucapkan pada semua yang simpati, beri sokongan dan bantuan pada saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda semua.





Saya cukup optimis, sang penguasa zalim akan tumbang juga akhirnya nanti. Tidak ada kerajaan zalim akan kekal selamanya.





Selagi hayat dikandung badan, selagi itu perjuangan akan diteruskan.





"BIAR JASADKU TERPENJARA, NAMUN JIWA TETAP MERDEKA"





Banduan Kajang,


Din Sharpshooter


15/1/2015








Penahanan Paulsen dan Kerajaan Yang Paranoia — Anwar Ibrahim

PERBEZAAN pendapat dan idea awam adalah aspek yang penting di dalam sebuah demokrasi yang berkembang. Tatkala kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak, kedaulatan undang-undang harus bersifat luhur dan setiap pihak berwajib mesti memelihara prinsip demokrasi berparlimen secara tersurat mahu tersirat. Kegagalan perkara ini dijamin, mendorong sebuah Negara menghadapi risiko yang parah.

Justeru, penahanan sewenang-wenang, pendakwaan terpilih dan penghakiman mahkamah yang tersasar nyata sekali bercanggah dengan doktrin ini dan sekaligus mencalar maruah rakyat. Pelanggaran seumpama ini bukan sesuatu yang remeh dalam praktis tatakekola tetapi pasti dilihat sebagai jenayah terbesar ke atas rakyat sebuah Negara yang bertamadun, yang seharusnya berbangga dengan sebuah perlembagaan yang menjamin kebebasan asasi agar dilindungi melalui kedaulatan undang-undang.

Pelanggaran terkini dapat dirujuk kepada penahanan Eric Paulsen pada malam Isnin dan reman selama dua hari berikutan 'tweet' beliau menuduh JAKIM (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia) mempromosikan keganasan melalui khutbah Jumaat. Penahanan termasuklah kaedah beliau ditahan adalah manifestasi jelas betapa kedaulatan undang-undang diperlekeh dan kerajaan berada dalam keadaan paranoia.

Apa lagi yang boleh diperkatakan dengan pengerahan satu platun dengan 20 pegawai polis hanya untuk menahan seorang individu tanpa mempertimbangkan bahawa individu tersebut adalah seorang peguam hak asasi ternama? Jika tindakan zalim tersebut hanya untuk mempamerkan tekanan secara terang-terangan, ia telah berjaya membuktikan wujudnya ketidakseimbangan antara kekuasaan dan rakyat bawahan. Di mata sang penguasa zalim, kebebasan asasi sering diketepikan. 'Tweet' seseorang berupaya menjadi bisa kepada orang lain.

Memandangkan beliau tidak didakwa, masih samar atas kesalahan apakah Eric Paulsen akan disabitkan tetapi memandangkan Ketua Polis Negara sendiri telah menyatakan melalui 'tweet' beliau bahawa Paulsen disiasat di bawah Akta Hasutan, peninggalan lapuk era kolonial British.

Tidak lama selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, Perdana Menteri Dato' Sri Najib tidak lama selepas mengambil alih jawatan, PM Dato 'Sri Najib berikrar di atas altar demokratik bahawa beliau akan menghapuskan undang-undang lapuk ini, sayangnya bukan sekadar beliau mengingkar janji, mezbah reformasi demokratik bahawa dia akan menghapuskan sekeping undang-undang ini tetapi bukan sahaja telah beliau mengingkari janji ini, beliau telah melangkaui pemimpin terdahulu dengan mengubah undang-undang tersebut menjadi "sejata pendakwaan" demi mengekang pimpinan pembangkang dan sekalian yang kritikal ke atas pemerintah.

Selain daripada lompongnya kedaulatan undang-undang, reaksi berlebihan ke atas tweet Paulsen juga melambangkan maraknya sikap tidak bertoleransi terhadap agama yang hadir untuk memasung Negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Melalui penyemarakan api perkauman melalui syak wasangka, kebencian dan permusuhan menjadi pertaruahan kalangan mereka yang berada di bawah politik naungan. Ramai yang telah terjun ke kancah pertelagahan dengan menggesa tindakan ke atas Paulsen secara tegas atas pendirian mempertahankan maruah umat Islam. Sementelahan ia dilihat hipokrit dan melucukan tatkala kalangan mereka yang teruja ini kononnya maruah mereka tercalar, adalah mereka yang juga terkenal dengan lontaran penghinaan bersifat perkauman dan ancaman keganasan.

Islam telah wujud lebih daripada 1500 tahun tanpa kalangan mereka yang menggelar diri sendiri sebagai pembela keimanan. Sudah pasti Islam mampu bertahan ribuan tahun malah selamanya tanpa mereka. Islam mendorong toleransi dan persefahaman, tatkala mereka mengamalkan permusuhan dan ketaksuban. Islam menyantuni dakwah da perdamaian, tatkala mereka menggesa perselisihan dan perseteruan. Kedua-dua ini, tidak mungkin bersatu.

Bagi sesetengah pihak, 'tweet' Eric Paulsen dilihat melangkaui batasan dan khilaf. Bagi sesetengah pihak yang lain, ia mungkin dilihat kritikan yang berasas. Dalam apa jua keadaan, JAKIM tidak sinonim dengan Islam. Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dianggotai oleh manusia biasa, JAKIM tidak sempurna sepenuhnya. Untuk menyatakan bahawa kritikan ke atas JAKIM harus ditafsir sebagai serangan ke atas Islam adalah kemuncak keberanian yang nyata satu penghinaan ke atas Islam itu sendiri.

Hatta jika Paulsen tidak menyebut JAKIM melalui 'tweet' beliau, hakikatnya umat Islam di Negara ini tahu betapa khutbah Jumaat yang disampaikan mempunyai kecenderungan politik dan campur tangan pihak tertentu. Namun menjadi pengetahuan umum bahawa khutbah yang diselaras JAKIM telah beberapa kali melakukan serangan yang tidak munasabah meskipun pelik dan serong, ke atas pembangkang dan pimpinan pembangkang. Menyeru kesederhanaan dan persefahaman kalangan komuniti dan kumpulan agama yang pelbagai di Negara ini tidak menjadi amalan JAKIM. Tetapi di saat mereka melaksanakan perkara tersebut, saya telah menjadi antara yang pertama memuji mereka keranan melakukan perkara yang benar – sebagaimana yang telah saya lakukan dalam satu majlis tahun lepas atas khutbah yang menginspirasikan perihal keperluan komuniti yang pelbagai untuk mendekati dan mengenali antara satu sama lain.

Untuk melabel bahawa Islam bukanlah agama yang ekstrem tetapi dalam masa yang sama menggesa tindakan tegas ke atas Paulsen atas 'tweet' beliau merupakan satu kontradiksi. Hanya mengisytiharkan "Islam adalah agama yang paling sederhana" tidak mencukupi. Kita mesti melaksanakannya. Kendatipun khutbah Jumaat turut menyentuh perihal masyarakat dan kemanusiaan dan jika – sebagaimana didakwa sesetengah pihak – ini tidak disedari Paulsen, maka menjadi kewajiban umat Islam untuk mencerahkan beliau mengenai perkara ini, bukan mengasak beliau dengan kekerasan undang-undang.

ANWAR IBRAHIM

Sirul ditawarkan tiket pulang percuma untuk ke tali gantung

PENGERUSI NGO Pemantau Jenayah, MyWatch R Sri Sanjeevan tampil menawarkan tiket penerbangan percuma bagi memastikan kopral Sirul Azhar yang dilaporkan berada di Australia dan tidak cukup wang untuk pulang ke Malaysia agar berbuat demikian bagi menjalani hukuman mati di tali gantung.

Melalui akaun twitter miliknya Sanjeevan menulis

"‎If Kopral Sirul's financial constraints the reason for him to escape, Federal Court's Judgement, then I'll buy him free return ticket home." (Jika kekangan kewangan kopral Sirul menjadi alasan untuk larikan diri dari penghakiman mahkamah persekutuan, maka saya sedia belikan tiket percuma untuk dia pulang)‎.

Sebelum ini orang ramai digemparkan dengan berita ketidakhadiran Anggota Unit Tindakan Khas, Kopral Sirul Azhar di Mahkamah Persekutuan sekaligus menyebabkan dia terselamat dari hukuman mati yang dikenakan oleh mahkamah selepas sabit kesalahan membunuh Altantuya.

Tidak cukup wang untuk pulang ke Malaysia dilaporkan menjadi alasan Sirul untuk tidak pulang kembali ke Malaysia sekaligus membolehkan dia lari dari tali gantung.

Orang ramai tertanya-tanya bagaimana tertuduh yang melibatkan kes jenayah berat iaitu 'bunuh' boleh dibenarkan keluar negara sedangkan perbicaraan kesnya masih belum selesai?

Sirul yang dilaporkan telah lari ke Australia itu dikatakan akan terus terlepas dari hukuman mati memandangkan kerajaan Autralia enggan menyerahkan pembunuh itu kepada Malaysia kecuali Malaysia berjanji tidak mengenakan hukum bunuh ke atasnya.

Keengganan Australia itu difahamkan kerana perbezaan undang-undang antara negara itu dengan Malaysia, di mana Autralia tidak memperuntukan sebarang hukuman mati terhadap pesalah di dalam undang-undang jenayahnya.