Thursday, 30 April 2015

Selamat tahun baru 2015 buat SPRM — Shamsul Iskandar


KITA melangkah ke tahun baru 2015 dengan penuh keinsafan, mengambil kira beberapa insiden bencana yang menimpa khususnya masyarakat di Pantai Timur amnya dan Kelantan khususnya. Pasti ia bukan sekadar satu bencana alam, tetapi lebih kepada malapetaka buat kalangan mereka yang terjejas teruk, sehingga kehilangan tempat tinggal dan sehelai sepinggang.

Sempena Tahun Baru 2015, tatkala ramai di kalangan kita menanamkan azam baru untuk merencana kehidupan, adalah wajar dan molek kiranya kita menghimbau apa yang telah diisi dan dilaksana sepanjang tahun 2014 untuk kita insafi dan perbaiki menjelang tahun 2015.

Dalam konteks ini saya terpanggil untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2015 buat Suruhanjaya Pencegaham Rasuah Malaysia (SPRM), dengan harapan agar mereka tidak terlepas pandang akan beberapa laporan yang telah dikemukakan oleh KEADILAN dan Pakatan Rakyat amnya atau saya khususnya, yang mana sepanjang pengamatan yang telah dibuat masih kekal di takuk lama tanpa sebarang tindakan.

Pertama sekali ialah siri-siri laporan melibatkan mantan Menteri Kewangan iaitu Tun Daim Zainuddin. Tidak kurang daripada tiga laporan telah dibuat pada awal tahun 2014 dan gesaan agar tindakan lanjut SPRM diambil juga telah dibuat berkali-kali. Atas justifikasi yang kukuh melalui perincian maklumat di dalam laporan yang telah dikemukakan, seakan-akan dibakulsampahkan oleh SPRM. Sejujurnya tindakan SPRM ini nyata sekali mendukacitakan dalam keadaan Tun Daim langsung tidam diambil sebarang tindakan hatta dipanggil untuk memberi keterangan lanjut. Maka timbul persoalan apakah pendakwaan selektif yang dituding ke atas agensi penguatkuasaan undang-undang termasuklah SPRM ini, merupakan satu kenyataan hakiki yang sebenar-benar berlaku dan bukan satu tudingan liar.

Kedua ialah laporan saya dan Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Melaka mengenai perbelanjaan perkahwinan anak mantan Ketua Menteri Melaka iaitu Tan Sri Mohd Ali Rustam yang dicanang-canang sebagai rekod kehadiran mencecah 130,000 tetamu. Pelbagai keraguan termasuklah notis mesyuarat persiapan majlis tersebut yang melibatkan ketua-ketua agensi kerajaan Negeri Melaka dan juga pengakuan oleh Tan Sri Mohd Ali sendiri yang majlis itu sekadar menelan belanja RM600 ribu. Kedua-dua fakta ini jelas tidak munasabah dan telah dikemukakan ke SPRM untuk tindakan lanjut, namun nyata sekali harapan tinggal harapan.

Dua kes ini, yang pastinya hanyalah dua di kalangan puluhan malah ratusan kes rasuah yang diketengahkan oleh Pakatan Rakyat, merupakan satu bukti jelas betapa SPRM melaksanakan pendakwaan selektif. Alasan ketiadaan dan ketidakcukupan bukti hanya alasan yang dikitar semula untuk mengabsahkan tindakan mereka menyelimuti salahlaku pimpinan Umno-BN dengan kuasa yang mereka ada.

Maka menginsafi jejak langkah di tahun baru 2015, sewajarnya SPRM bertindak serius untuk mengembalikan keyakinan rakyat ke atas akauntabiliti mereka selaku agensi yang berwajib dalam hal-hal pembanterasan rasuah.

Di saat indeks persepsi rasuah menunjukkan Malaysia berada di kedudukan rendah malah lebih corot jika dibanding dengan negara-negara dunia ketiga, ini seharusnya menjadi tamparan buat SPRM di sebalik laungan mereka yang berkobar-kobar mahu membasmi rasuah, tetapi hanya berani memukat ikan bilis tanpa berani menangkap jerung yang bermaharajalela.

Komitmen saya dan Pakatan Rakyat adalah jelas: segala bentuk usaha penambahbaikan dan pemerkasaan SPRM dalam menangani isu rasuah akan senantiasa disokong tanpa gagal. Cuma seeloknya SPRM bermuhasabah agar mereka tidak dilihat condong kepada pihak tertentu demi menjaga periuk nasi sendiri.

Rasuah kekal musuh negara, maka SPRM harus menjadikan rasuah juga selaku musuh mereka yang dibidik dengan senjata yang ada. Moganya senjata yang ada tidak memakan tuannya sendiri, kerana dikhuatiri bukan sekadar rasuah menjadi musuh negara, sebaliknya SPRM juga kelak menanggung akibatnya dek persepsi rakyat yang kian hilang kepercayaan.

Selamat Tahun Baru 2015 buat SPRM. Berkhidmatlah dengan Bebas, laksanakan tugas dengan Telus, serta junjunglah amalan Profesional demi negara yang tercinta.

Shamsul Iskandar Bin Mohd Akin
Ahli Parlimen Bukit Katil
Naib Presiden KEADILAN

2 Januari 2015

Kongsi gelap: Tiga soalan untuk DS Zahid Hamidi

SEPERTI ramai di luar sana, saya terkejut membaca laporan berita bertajuk "Accused gambling kingpin Paul Phua 'assisting Malaysia on matters of national security'" yang disiar South China Morning Post pada 31 Disember 2014 (http://m.scmp.com/news/china/article/1637766/gambling-kingpin-paul-phua-accused-making-under-table-payment-macau).

Dalam laporan berita ini, South China Morning Post telah mendedahkan bahawa DS Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri telah secara rahsia menulis sepucuk surat (http://www.scmp.com/sites/default/files/uploads/2014/12/30/malaysialetter.pdf) kepada pihak FBI Amerika Syarikat menafikan bahawa Paul Phua Wei-seng adalah ahli kongsi gelap 14K dan memohon agar dia dibenarkan pulang ke Malaysia.

Sesiapa yang membaca laporan tersebut akan tahu bahawa Paul Phua sedang dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat atas dakwaan menjalankan suatu operasi perjudian di Caesar's Palace Hotel, Las Vegas sewaktu perlawanan bola sepak Piala Dunia pada pertengahan 2014. Beliau sebelum ini pernah ditahan di dan kemudiannya diusir dari Macau kerana menjalankan operasi perjudian atas talian.

Paling memeranjatkan adalah kenyataan DS Zahid di dalam surat kepada FBI yang berkata bahawa Paul Phua telah "beberapa kali membantu Kerajaan Malaysia di dalam projek-projek berkaitan keselamatan negara".

Di sini saya ingin mengajukan tiga soalan untuk DS Zahid:

1) Adakah surat yang disiarkan South China Morning Post itu sahih dan benar?

2) Memandangkan perwatakan dan sejarah Paul Phua yang pernah ditangkap dan diusir dari Macau kerana aktiviti perjudian, apakah "projek-projek berkaitan keselamatan negara" yang dimaksudkan oleh DS Zahid ini? Mengapakah beliau dilibatkan?

dan

3) Mengapakah DS Zahid sanggup mempertahan seorang seperti Paul Phua yang jelas terlibat dengan aktiviti perjudian, tetapi diam seribu bahasa apabila Interpol mengeluarkan waran tangkap ke atas Dr Yusuf Al-Qaradawi, seorang ulama' muktabar yang disanjung tinggi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia malah Tokoh Maal Hijrah yang diiktiraf Kerajaan Malaysia?

Saya harap DS Zahid akan dapat memberikan penjelasan kepada soalan-soalan di atas, demi meleraikan keresahan di kalangan rakyat tentang isu ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN merangkap Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN

3 Januari 2015‎

Lindungi SKMM dari lantikan politik — AMK

SAYA merujuk laporan media yang mendakwa seorang ahli politik UMNO, Dr Mazlan Ismail mungkin dilantik untuk menggantikan Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sebelum ini Dr Mazlan pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum lalu dan tewas kepada Anwar Ibrahim.

Kontrak Mohamed Sharil tidak disambung dan wujud dakwaan ada rancangan untuk menggantikannya dengan Dr Mazlan.

Akhbar milik UMNO, Utusan telah mengkritik Sharil dan mempromosikan Dr Mazlan secara terbuka.

Jika ini benar, ia adalah satu perkembangan yang tidak sihat. Ini tidak ada kena mengena dengan kelayakan Dr Mazlan.

Namun, kepentingan awam hanya akan dijaga dengan lebih baik sekiranya badan kawal selia yang penting dipimpin oleh seorang teknokrat.

Ini lebih-lebih lagi kepada badan sepenting SKMM yang mengawal selia media atas talian di Malaysia yang kian memainkan peranan penting.

Adalah penting semua keputusan dan tindakan SKMM dibuat tanpa sebarang keraguan yang dikaitkan dengan kepentingan dan sikap memihak secara politk.

Malah, seorang pengerusi baru yang bakal dilantik nanti mesti meastikan amalan kebebasan bersuara yang banyak dikekang di negara ini terus dihakis.

Oleh kerana itu, saya menggesa pihak bertanggungjawab dalam Kerajaan Persekutuan dan SKMM segera menjelaskan persoalan ini kepada orang ramai.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR

IGP must not intervene in policy/political debates on Sedition Act — Surendran

I refer to IGP Khalid Bakar's remarks on Twitter that the Paris attacks shows that the Sedition Act is needed in our country.

Khalid's remarks are a desperate attempt to justify continued usage of the draconian and archaic Sedition Act 1948. His claim is without any logic or basis.

How can the Sedition Act possibly protect the country from terrorist attacks? Only good police work and intelligence gathering can prevent terrorist incidents from occurring.

On the contrary, the Sedition Act criminalizes legitimate criticism of the government and the authorities. For example, why are the police now investigating PKR Adun Haniza Talha merely for questioning the federal budget allocation for Permata? Can the IGP answer this?

It is even more disturbing that the IGP has chosen to interfere in the ongoing dispute between the BN and the Opposition/ civil society on the retention and use of the Sedition Act.

The IGP, as a top civil servant, has no business to publicly intervene in policy or political matters. The IGP's job is strictly confined to law enforcement.

His interference in policy matters outside his ambit will only further tarnish and damage the reputation of the police force.

Issued by,
N Surendran
MP for Padang Serai,
Political Bureau Member, Keadilan

10 January 2015

Mesej blogger Din Sharpshooter dari penjara











ASSALAMUALAIKUM


Salam Reformasi





Jika mereka fikir dengan memenjarakan saya, saya akan patah semangat, ternyata mereka silap orang.





Biarpun pada malam pertama saya dihumban di Block Damai bersama 9 orang penjenayah, bilik tiada lampu, tiada air, makanan selayaknya untuk anjing dan kucing, ini sedikit pun tidak mematahkan semangat saya untuk terus berjuang.





Keesokannya saya dipindahkan ke Block INSAF bilik 34, betul² ‎bersebelahan dengan bilik hukuman gantung sampai mati. Bilik tersebut juga tiada air. Sehinggalah hari selasa, saya dipindahkan ke blok RSD (Klinik Penjara).





Semasa di blok INSAF saya diasingkan atas ketegori keselamatan. Di blok RSD pun saya diasingkan seorang diri.





Saya mulai berpuasa ‎hari isnin, hanya berbuka dan sahur dengan biskut kering dan air paip namun saya lebih terbayang dan terkenang nasib mangsa banjir di Kelantan dan Pahang yang teruk mereka alami, semoga mereka tabah hadapi ujian ini.





Terima kasih saya ucapkan pada semua yang simpati, beri sokongan dan bantuan pada saya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa anda semua.





Saya cukup optimis, sang penguasa zalim akan tumbang juga akhirnya nanti. Tidak ada kerajaan zalim akan kekal selamanya.





Selagi hayat dikandung badan, selagi itu perjuangan akan diteruskan.





"BIAR JASADKU TERPENJARA, NAMUN JIWA TETAP MERDEKA"





Banduan Kajang,


Din Sharpshooter


15/1/2015








Penahanan Paulsen dan Kerajaan Yang Paranoia — Anwar Ibrahim

PERBEZAAN pendapat dan idea awam adalah aspek yang penting di dalam sebuah demokrasi yang berkembang. Tatkala kebebasan bersuara tidak bersifat mutlak, kedaulatan undang-undang harus bersifat luhur dan setiap pihak berwajib mesti memelihara prinsip demokrasi berparlimen secara tersurat mahu tersirat. Kegagalan perkara ini dijamin, mendorong sebuah Negara menghadapi risiko yang parah.

Justeru, penahanan sewenang-wenang, pendakwaan terpilih dan penghakiman mahkamah yang tersasar nyata sekali bercanggah dengan doktrin ini dan sekaligus mencalar maruah rakyat. Pelanggaran seumpama ini bukan sesuatu yang remeh dalam praktis tatakekola tetapi pasti dilihat sebagai jenayah terbesar ke atas rakyat sebuah Negara yang bertamadun, yang seharusnya berbangga dengan sebuah perlembagaan yang menjamin kebebasan asasi agar dilindungi melalui kedaulatan undang-undang.

Pelanggaran terkini dapat dirujuk kepada penahanan Eric Paulsen pada malam Isnin dan reman selama dua hari berikutan 'tweet' beliau menuduh JAKIM (Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia) mempromosikan keganasan melalui khutbah Jumaat. Penahanan termasuklah kaedah beliau ditahan adalah manifestasi jelas betapa kedaulatan undang-undang diperlekeh dan kerajaan berada dalam keadaan paranoia.

Apa lagi yang boleh diperkatakan dengan pengerahan satu platun dengan 20 pegawai polis hanya untuk menahan seorang individu tanpa mempertimbangkan bahawa individu tersebut adalah seorang peguam hak asasi ternama? Jika tindakan zalim tersebut hanya untuk mempamerkan tekanan secara terang-terangan, ia telah berjaya membuktikan wujudnya ketidakseimbangan antara kekuasaan dan rakyat bawahan. Di mata sang penguasa zalim, kebebasan asasi sering diketepikan. 'Tweet' seseorang berupaya menjadi bisa kepada orang lain.

Memandangkan beliau tidak didakwa, masih samar atas kesalahan apakah Eric Paulsen akan disabitkan tetapi memandangkan Ketua Polis Negara sendiri telah menyatakan melalui 'tweet' beliau bahawa Paulsen disiasat di bawah Akta Hasutan, peninggalan lapuk era kolonial British.

Tidak lama selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, Perdana Menteri Dato' Sri Najib tidak lama selepas mengambil alih jawatan, PM Dato 'Sri Najib berikrar di atas altar demokratik bahawa beliau akan menghapuskan undang-undang lapuk ini, sayangnya bukan sekadar beliau mengingkar janji, mezbah reformasi demokratik bahawa dia akan menghapuskan sekeping undang-undang ini tetapi bukan sahaja telah beliau mengingkari janji ini, beliau telah melangkaui pemimpin terdahulu dengan mengubah undang-undang tersebut menjadi "sejata pendakwaan" demi mengekang pimpinan pembangkang dan sekalian yang kritikal ke atas pemerintah.

Selain daripada lompongnya kedaulatan undang-undang, reaksi berlebihan ke atas tweet Paulsen juga melambangkan maraknya sikap tidak bertoleransi terhadap agama yang hadir untuk memasung Negara kita yang berbilang bangsa dan agama. Melalui penyemarakan api perkauman melalui syak wasangka, kebencian dan permusuhan menjadi pertaruahan kalangan mereka yang berada di bawah politik naungan. Ramai yang telah terjun ke kancah pertelagahan dengan menggesa tindakan ke atas Paulsen secara tegas atas pendirian mempertahankan maruah umat Islam. Sementelahan ia dilihat hipokrit dan melucukan tatkala kalangan mereka yang teruja ini kononnya maruah mereka tercalar, adalah mereka yang juga terkenal dengan lontaran penghinaan bersifat perkauman dan ancaman keganasan.

Islam telah wujud lebih daripada 1500 tahun tanpa kalangan mereka yang menggelar diri sendiri sebagai pembela keimanan. Sudah pasti Islam mampu bertahan ribuan tahun malah selamanya tanpa mereka. Islam mendorong toleransi dan persefahaman, tatkala mereka mengamalkan permusuhan dan ketaksuban. Islam menyantuni dakwah da perdamaian, tatkala mereka menggesa perselisihan dan perseteruan. Kedua-dua ini, tidak mungkin bersatu.

Bagi sesetengah pihak, 'tweet' Eric Paulsen dilihat melangkaui batasan dan khilaf. Bagi sesetengah pihak yang lain, ia mungkin dilihat kritikan yang berasas. Dalam apa jua keadaan, JAKIM tidak sinonim dengan Islam. Sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dianggotai oleh manusia biasa, JAKIM tidak sempurna sepenuhnya. Untuk menyatakan bahawa kritikan ke atas JAKIM harus ditafsir sebagai serangan ke atas Islam adalah kemuncak keberanian yang nyata satu penghinaan ke atas Islam itu sendiri.

Hatta jika Paulsen tidak menyebut JAKIM melalui 'tweet' beliau, hakikatnya umat Islam di Negara ini tahu betapa khutbah Jumaat yang disampaikan mempunyai kecenderungan politik dan campur tangan pihak tertentu. Namun menjadi pengetahuan umum bahawa khutbah yang diselaras JAKIM telah beberapa kali melakukan serangan yang tidak munasabah meskipun pelik dan serong, ke atas pembangkang dan pimpinan pembangkang. Menyeru kesederhanaan dan persefahaman kalangan komuniti dan kumpulan agama yang pelbagai di Negara ini tidak menjadi amalan JAKIM. Tetapi di saat mereka melaksanakan perkara tersebut, saya telah menjadi antara yang pertama memuji mereka keranan melakukan perkara yang benar – sebagaimana yang telah saya lakukan dalam satu majlis tahun lepas atas khutbah yang menginspirasikan perihal keperluan komuniti yang pelbagai untuk mendekati dan mengenali antara satu sama lain.

Untuk melabel bahawa Islam bukanlah agama yang ekstrem tetapi dalam masa yang sama menggesa tindakan tegas ke atas Paulsen atas 'tweet' beliau merupakan satu kontradiksi. Hanya mengisytiharkan "Islam adalah agama yang paling sederhana" tidak mencukupi. Kita mesti melaksanakannya. Kendatipun khutbah Jumaat turut menyentuh perihal masyarakat dan kemanusiaan dan jika – sebagaimana didakwa sesetengah pihak – ini tidak disedari Paulsen, maka menjadi kewajiban umat Islam untuk mencerahkan beliau mengenai perkara ini, bukan mengasak beliau dengan kekerasan undang-undang.

ANWAR IBRAHIM

Sirul ditawarkan tiket pulang percuma untuk ke tali gantung

PENGERUSI NGO Pemantau Jenayah, MyWatch R Sri Sanjeevan tampil menawarkan tiket penerbangan percuma bagi memastikan kopral Sirul Azhar yang dilaporkan berada di Australia dan tidak cukup wang untuk pulang ke Malaysia agar berbuat demikian bagi menjalani hukuman mati di tali gantung.

Melalui akaun twitter miliknya Sanjeevan menulis

"‎If Kopral Sirul's financial constraints the reason for him to escape, Federal Court's Judgement, then I'll buy him free return ticket home." (Jika kekangan kewangan kopral Sirul menjadi alasan untuk larikan diri dari penghakiman mahkamah persekutuan, maka saya sedia belikan tiket percuma untuk dia pulang)‎.

Sebelum ini orang ramai digemparkan dengan berita ketidakhadiran Anggota Unit Tindakan Khas, Kopral Sirul Azhar di Mahkamah Persekutuan sekaligus menyebabkan dia terselamat dari hukuman mati yang dikenakan oleh mahkamah selepas sabit kesalahan membunuh Altantuya.

Tidak cukup wang untuk pulang ke Malaysia dilaporkan menjadi alasan Sirul untuk tidak pulang kembali ke Malaysia sekaligus membolehkan dia lari dari tali gantung.

Orang ramai tertanya-tanya bagaimana tertuduh yang melibatkan kes jenayah berat iaitu 'bunuh' boleh dibenarkan keluar negara sedangkan perbicaraan kesnya masih belum selesai?

Sirul yang dilaporkan telah lari ke Australia itu dikatakan akan terus terlepas dari hukuman mati memandangkan kerajaan Autralia enggan menyerahkan pembunuh itu kepada Malaysia kecuali Malaysia berjanji tidak mengenakan hukum bunuh ke atasnya.

Keengganan Australia itu difahamkan kerana perbezaan undang-undang antara negara itu dengan Malaysia, di mana Autralia tidak memperuntukan sebarang hukuman mati terhadap pesalah di dalam undang-undang jenayahnya.


Anwar Ibrahim kemuka 4 cadangan atasi masaalah ekonomi negara

PADA 12 Disember tahun lalu, saya telah memaklumkan kepada rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi waktu-waktu sukar kerana kita sedang berhadapan dengan hentakan berganda melalui penurunan harga minyak mentah antarabangsa di samping penyusutan nilai Ringgit Malaysia ke tahap terendah semenjak krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Harga minyak mentah Brent terus menurun. Sehingga kini, ia telah menyusut sebanyak 53 peratus dari tahun lepas, yakni daripada purata 108 Dollar Amerika Syarikat setong pada Januari 2014 kepada 51 Dollar Amerika Syarikat secara purata bagi bulan Januari 2015.

Nilai Ringgit kini merupakan matawang Asia yang paling lemah, mengkesampingkan nilai Yen. Ia telah menyusut kepada RM3.55 untuk setiap 1 Dollar Amerika Syarikat daripada RM3.32 setahun yang lalu. Sejak Oktober 2014, ringgit telah menyusut hampir 8.3 peratus.

Benar, bahawa matawang Asia yang lain turut menyusut dan terkesan ke atas Dollar Amerika Syarikat, tetapi matawang kita jatuh hampir dua kali ganda jika dibanding Dollar Taiwan dan Dollar Singapura pada 4.59 peratus dan 4.50 peratus masing-masing berbanding Dollar Amerika Syarikat.

Harga minyak sawit mentah juga melemah pada anggaran 10 peratus kepada RM 2300 satu tan.

Dampak Pada Hasil Negara

Pendapatan daripada minyak dan gas membentuk 30 peratus daripada keseluruhan pendapatan kerajaan. Belanjawan Persekutuan 2015 yang telah dibentangkan pada 10 Oktober tahun lepas adalah berasaskan kepada julat harga minyak mentah antara 100 ke 105 Dollar Amerika Syarikat setong.

Malah sebelum penyusutan ke tahap semasa, Petronas telah memberi amaran sekiranya harga minyak mentah pada anggaran purata 70 ke 75 Dollar Amerika Syarikat, keseluruhan sumbangan kepada pendapatan kerajaan akan menyusut sebanyak 8 peratus. Ini bermakna pengurangan sebanyak RM 19.4 billion daripada anggaran pendapatan sebanyak RM 242 billion ke atas unjuran belanjawan 2015.
Kini, dalam pada harga minyak menurun hampir separuh, apakah dampak sebenar ke atas pendapatan negara?

Meskipun dimaklumi bahawa akan berlaku penjimatan subsidi minyak, namun sebagaimana yang dilapor oleh Maybank Research di dalam penerbitan terbaharu mereka, penyusutan pendapatan sebanyak RM 8.4 billion akan melangkaui penjimatan subsidi dan mengakibatkan defisit fiskal sebanyak 4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan bukannya seperti yang sasaran 3 peratus untuk tahun 2015.

Menurut Goldman Sachs dan Morgan Stanley, harga minyak mentah bakal terus terapung di antara 40 ke 50 Dollar Amerika Syarikat pada tahun 2015. Ini membawa maksud kesan ke atas pendapatan kerajaan dan defisit akan menjadi lebih parah. Beberapa penganalisis memberi peringatan mengenai tahap defisit yang mampu mencecah setinggi 5 peratus. Ini akan berlanjutan sekiranya nilai Ringgit Malaysia terus menyusut dan harga minyak sawit mentah terus jatuh.

Dari segi pelaburan ekuiti, menurut CLSA (Credit Lyonnais Securities Asia), Malaysia mencatatkan prestasi pasaran saham terburuk Asia pada tahun 2014. Meskipun bursa saham Indonesia, Thailand dan Singapura masih berjaya mencatatkan pertumbuhan positif, bursa saham negara mencatatkan penurunan yang signifikan.

Selain daripada faktor-faktor yang dinyatakan terdahulu, terdapat juga isu berkaitan aliran keluar modal asing daripada kedua-dua pasaran bon Ringgit (45 peratus daripada keseluruhan MGS (sekuriti kerajaan Malaysia)) dan ekuiti. Tarikan pasaran yang lemah serta ketidaktentuan fiskal akan mendorong Ringgit menyusut ke tahap terendah dalam sejarah serta menolak kadar pulangan MGS dan menaikkan kos pembiayaan (nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus).

Apa Yang Harus Kerajaan Lakukan Sekarang?

Pertama sekali, korupsi dan ketirisan perlu ditangani. Kami melalui Pakatan Rakyat telah membentangkan dalam Belanjawan Bayangan Pakatan Rakyat 2015 bahawa penjimatan konservatif hanya pada kadar 15 peratus dalam ketirisan perbelanjaan kerajaan mampu menjimatkan hampir RM 20 billion atau bersamaan 1.6 peratus daripada unjuran KDNK.

Kedua, kita harus menghentikan budaya pembaziran serta cara hidup mewah dan boros yang diselimuti melalui proses perolehan yang samar dan amalan penswastaan yang legap. Kerajaan perlu berhenti menyorok setiap hutang lapuk di bawah hamparan luar kunci kira-kira.

Tiada satu sebarang alternatif kepada tatakelola yang baik selain daripada maklumat yang benar dan telus berhubung kewangan negara. Dalam hal ini, kita sudah sedia terkesan dibebani skandal 1MDB. Rakyat sudah muak dan tidak mampu bertolak ansur lagi.

Ketiga, Jawatankuasa Krisis Nasional yang bersifat rentas parti politik perlu ditubuhkan pada kadar segera melibatkan Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, para ekonomis, pakar-pakar pasaran serta pakar dalam bidang-bidang berkaitan.

Jawatankuasa ini, antara lain hendaklah ditugaskan dengan peranan dan tanggungjawab untuk memantau harga komoditi setiap hari dan diberikan kuasa untuk melaksanakan segala langkah bersesuaian untuk mengurangkan dampak negatif selepas sebarang konsensus dicapai.

Keempat, kerajaan perlu bersedia untuk memperkenalkan langkah-langkah penjimatan sekiranya harga minyak menyusut ke tahap lebih rendah dan kekal statik. Ini bermaksud keperluan memangkas projek-projek mega, tetapi meneruskan perbelanjaan dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan bantuan kemanusiaan untuk mangsa banjir.

Perlu diingatkan bahawa negara-negara yang bergantung kepada hasil mahsul minyak seperti Norway (yang mempunyai tatakelola pengurusan dan pentadbiran yang baik) juga telah berada dalam mod bersedia untuk berhadapan dengan kesan jangka panjang berikutan harga minyak yang rendah.

Diakui bahawa pergerakan harga komoditi antarabangsa merupakan sesuatu di luar kawalan kita. Sungguhpun begitu, kita berkemampuan mengawal seluruh cara perbelanjaan dan pengurusan kewangan negara.

Di sinilah kerajaan gagal dan terus gagal meskipun Pakatan Rakyat berulang kali menggesa agar berpijak pada bumi yang nyata dan mengambil langkah-langkah pencegahan. Apakah yang telah dilakukan sebelum ini? Apakah ini sikap yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk bertransformasi?

Krisis Banjir dan Pengajarannya

Inilah sikap yang sama yang telah mengakibatkan kemusnahan dek bencana banjir baru-baru ini. Banjir merupakan satu fenomena saban tahun yang telah berlaku berabad lamanya, tetapi tiada langkah kawalan dan pencegahan yang serius dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Dalam hal ini, kita harus mengagumi badan-badan NGO yang datang beramai-ramai menghulur bantuan. Melangkaui batas agama dan bangsa yang berbeza, sokongan dan kesiapsiagaan untuk membantu mangsa-mangsa banjir merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelumnya dan menunjukkan peri penting Kerajaan Persekutuan bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat bersekali dengan badan-badan NGO.

Mesej Kepada Rakyat

Zaman sukar menanti kita kesan daripada perbelanjaan kerajaan yang bakal dikurangkan dan pertumbuhan ekonomi yang turut menguncup. Rakyat perlu kekal berjimat cermat dan jangan menambah hutang atau komitmen kewangan yang tidak perlu.

Tatkala inflasi berterusan meningkat di saat penggajian kekal di takuk lama, rakyat akan berhadapan dengan kesukaran ekonomi yang hebat dan ketidakseimbangan pendapatan akan terus melebar.

Justeru, kami menggesa kerajaan agar telus dalam meramal ekonomi negara. Rakyat menantikan pengumuman Selasa ini dan menjangkakan usaha Kerajaan Persekutuan yang serius lagi bersungguh-sungguh untuk menstruktur semula Belanjawan 2015.

Anwar Ibrahim
Penasihat Ekonomi Negeri Selangor
18 Januari 2015

Nota: Kenyataan ini disampaikan sebagai ucapan dasar di program Meet Anwar di One World Hotel pada 18 Januari 2015. Sila rujuk dan banding dengan ucapan tersebut.

PLKN wajar dimansuh bukan ditangguh

ANGKATAN Muda KEADILAN (AMK) menyambut baik langkah kerajaan menyemak belanjawan ekoran kejatuhan harga minyak dunia.

Ini menjelaskan ketepatan kritikan Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa kerajaan tidak patut berbelanja besar dengan mengamalkan defisit berterusan serta terlalu bergantung kepada hasil minyak.

Bagaimanapun, AMK berpendirian bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bukan sepatutnya ditangguh tetapi terus dimansuh.

AMK berpendirian bahawa semua modul latihan PLKN sebenarnya boleh dijalankan oleh pihak sekolah dan juga universiti. Menganggap latihan PLKN penting, seolah-olah ia tidak mampu disediakan oleh pihak sekolah dan universiti jelas menunjukkan betapa lemahnya fokus pendidikan negara. Semua kebaikan yang boleh didapatkan melalui PLKN boleh juga dicapai jika dikendalikan oleh pihak lain, pada kos yang lebih rendah.

Sekiranya kerajaan mengatakan penjimatan yang dibuat ialah sebanyak RM400 juta dengan penangguhan PLKN, maka pihak kerajaan mesti menjelaskan mengapa perbelanjaan tahun-tahun tertentu adalah lebih tinggi, mencecah sehingga RM700 juta.

Jumlah RM400 juta ini adalah sekitar satu perlima hingga satu perempat jumlah Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) setahun atau menampung kos pinjaman sebanyak RM15,000 kepada lebih 25,000 pelajar universiti setiap tahun atau menyediakan pelbagai bentuk latihan kemahiran kepada anak muda yang tidak terpilih melanjutkan pengajian ke universiti atau memilih untuk bekerja atau memastikan semua sekolah di seluruh negara ada kemudahan asas yang lengkap.

Daripada data yang ada, seramai 832,712 orang telah mengikuti latihan PLKN sejak ia mula diperkenalkan pada 16 Februari 2004. Dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM400 juta setahun (meskipun ada tahun-tahun di mana perbelanjaannya lebih tinggi), ia bermakna kos untuk seorang peserta adalah sebanyak RM5,283 untuk setiap program, terlalu tinggi untuk seorang peserta.

AMK yakin, jenis latihan yang sama boleh disediakan pada kadar harga lebih rendah. Oleh itu, AMK menggesa semua kontraktor yang terlibat dalam menyediakan bekalan untuk PLKN ini didedahkan kepada umum.

Dengan semua kelemahan ini, AMK menggesa agar PLKN bukan sahaja ditangguh tetapi akan terus dimansuhkan.

AKMAL NASIR
Pengarah Strategi
Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Malaysia

20 Januari 2015‎

Isu Daim: Anwar konsisten dedah kepincangan

SAYA ingin memberikan sedikit maklum balas mengenai kenyataan Ariff Sabri Abdul Aziz, ahli parlimen Raub mewakili DAP yang mempersoal Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia yang juga Ketua Umum KEADILAN yang dikatakan meletakkan keutamaan salah dalam strategi, bersungguh menentang Daim Zainuddin dan bukan untuk menjatuhkan BN daripada kuasa, khususnya dengan mendedahkan kelemahan kepimpinan Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai ahli politik dan penganalisa isu semasa yang cekap, saya berpandangan bahawa Ariff Sabri seharusnya menyedari bahawa komitmen Anwar Ibrahim kepada usaha mereformasi politik negara, menjatuhkan BN dan mengeratkan hubungan antara parti-parti pembangkang tidak wajar dipersoalkan lagi.

Beliau mungkin nampak bersungguh dalam menawarkan diri memberi maklumat berkenaan kes Daim, namun jangan dilupakan bahawa beliau juga tegas menyatakan pendirian dan sikap terhadap pentadbiran di bawah kepimpinan BN yang lain sejak zaman Dr. Mahathir lagi. Malah, sejak 1998 sehingga hari ini Anwar telah konsisten menyatakan pendiriannya terhadap dakwaan rasuah terhadap Daim.

Saya yakin, sebagai sahabat Daim, Ariff sendiri sedar perkara ini.

Apakah Daim boleh dilepaskan begitu saja hanya kerana beliau bukan ahli politik yang memegang jawatan utama dalam kerajaan kini? Saya yakin komitmen untuk mendedahkan banyak kepincangan yang disorok sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa akan menjelaskan hal ini dan inilah yang sangat ditakuti oleh sesetengah pencatur politik seperti Daim.

Berkaitan keputusan mahkamah, saya fikir kita semua jelas bahawa ia adalah fitnah jahat yang sengaja dibuat utuk menyekat kemaraan beliau dalam politik. Ini bukan serangan terakhir dan satu-satunya dakwaan yang akan dihadapkan kepada beliau.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Angkatan Muda Keadilan

Pembekuan penukaran gunatanah hutan kepada perladangan

SAYA ingin menyatakan sokongan terbuka ke atas kenyataan terbaharu Sahabat Alam Malaysia (SAM) melalui Presiden S.M. Mohamed Idris bersabit gesaan membekukan penukaran gunatanah hutan kepada perladangan.

Beberapa perkembangan mutakhir termasuklah bencana banjir yang melanda khususnya kawasan Pantai Timur dan beberapa kawasan lain Semenanjung Malaysia dan tanah runtuh di Cameron Highland merupakan natijah daripada penukaran gunatanah hutan yang didorong inisiatif penerokaan hutan simpan kekal. Ini jelas sekali memberi kesan jangka panjang kepada keseimbangan ekosistem dan biodiversiti.

Isu pembalakan haram yang berlaku baik di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak bukan sesuatu yang baru dibangkitkan sehari dua ini. Isu ini menjangkau puluhan tahun dan pastinya memberi dampak negatif ke atas perolehan hasil hutan. Puluhan malah ratusan juta ringgit hilang begitu sahaja saban tahun dek pembalakan haram yang tidak dibendung dengan serius.

Perincian dan butiran fakta yang dikemukakan oleh SAM menunjukkan rakyat wajar merasa bimbang. Trend melalui konsep agro-perhutanan tidak wajar dijadikan justifikasi untuk menghalalkan penerokaan hutan serta penukaran guna tanah melibatkan hutan simpan kekal secara sewenang-wenang. Justeru wajar sekali kenyataan SAM ini dijawab dengan jelas dan tuntas oleh badan berwajib khususnya Kementerian Sumber Asli & Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Kementerian Perusahaan Perladangan & Komoditi melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Adalah wajar sekiranya Majlis Tanah Negara kembali menyemak Dasar Perhutanan Negara yang digubal pada tahun 1977 agar ia diperkemas sesuai dengan kondisi masa kini yang terdedah kepada ancaman pembalakan serta penerokaan haram, dan juga mempertimbangkan seseriusnya gesaan SAM untuk membekukan sebarang bentuk penukaran gunatanah hutan kepada perladangan. Elemen penguatkuasaan harus dimantapkan supaya bersifat lebih efektif dalam menangani masalah ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga digesa bertindak tegas untuk membanteras kegiatan korupsi di sebalik pembalakan haram yang berlaku. Dalam pada kita mendorong pembangunan dilaksana dan menggiatkan hasil perladangan, kita sama sekali tidak wajar berkompromi dengan pemugaran tanah sehingga mengakibatkan keseimbangan ekosistem terjejas.

ANWAR IBRAHIM
22 Januari 2015

Takziah atas kemangkatan Raja Abdullah — Anwar Ibrahim

SAYA merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Raja Abdullah Abdulaziz semalam. Didoakan moga ruh Baginda dicucuri rahmat Allah swt.

Pada masa yang sama ucapan tahniah diucapkan kepada Putera Mahkota Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz atas pertabalan baginda selaku Raja Arab Saudi yang baharu. Semoga era kepimpinan beliau dapat memandu Arab Saudi dan Timur Tengah amnya ke satu tahap terbaik.

Bersama-sama kita mendoakan kesejahteraan semua.

ANWAR IBRAHIM
23 JANUARI 2015

Keputusan kes Fitnah Liwat II Dato Seri Anwar 10 Feb 2015

SAYA menerima maklumat yang menyatakan Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 10 Februari hadapan sebagai tarikh penghakiman bagi rayuan kes saya di peringkat Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman Putrajaya.

Berdasarkan penghujahan pasukan guaman, saya yakin akan dibebaskan berdasarkan perincian fakta dan undang-undang kukuh yang telah dibentangkan di hadapan panel Mahkamah Persekutuan.

Fitnah tidak wajar dijadikan alat dalam tinju politik dan diberi ruang untuk memporak-perandakan negara.

Saya panjatkan doa pada Allah Yang Maha Esa agar keadilan dapat ditegakkan dan saya dibebaskan.

ANWAR IBRAHIM

Bantuan kenderaan pacuan 4 roda diperlukan!‎

SALAM sahabat, Jingga 13 Malaysia akan meneruskan misi prihatin (banjir) kali ke 9 di Negeri Kelantan pada 28 febuari 2015 hingga 5 Mac 2015 (6 hari).

Misi kali ini adalah untuk membina dan membaik pulih masjid serta pondok pengajian di Sekolah Pondok Tok Kenali di Kg Jenang, Dabong, yang terjejas akibat banjir besar sebelum ini.

Jingga 13 telah berjaya mengumpulkan sumbangan orang ramai bagi menjayakan misi kali ini, namun menghadapi masaalah logistik untuk masuk ke Sekolah Pondok tersebut memandangkan ia terletak jauh di pedalaman ditambah dengan keadaan jalan yang rosak tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa‎.

Jingga 13 memohon jika ada sahabat yang bermurah hati untuk meminjamkan kenderaan pacuan 4 roda untuk melakukan misi ini selama 6 hari.

Jumlah kenderaan yang diperlukan EMPAT (4) buah, sila hubungi Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Cikgu Fariz Musa di nombor telefon 0199900288

Segala budi baik dan kemurahan hati anda didahulukan dengan jutaan terima kasih. Hanya Allah yang mampu membalasnya.

Mohon share dan sebarkan!


Perutusan Hari Thaipusam, DS Anwar Ibrahim

‎SAYAingin mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada masyarakat Hindu di Malaysia dan seluruh dunia.
Sebagaimana dihurai oleh para sarjana dan sejarawan, perayaan ini disambut pada hari bulan penuh dalam bulan kesepuluh atau 'Thai' dalam kalendar Tamil, bersempena peristiwa Dewa Murugan dikurniakan lembing 'Vel' oleh bondanya Dewi Parvati untuk memerangi dan menewaskan syaitan kejahatan yang dikenali sebagai Soorapadman.
Mengikut faham Hinduisme, upaya Dewa Murugan memerangi Soorapadman ini sebagaimana disebut di dalam teks Skanda Puranam, adalah satu perlambangan kebijaksanaan untuk menghapuskan kejahatan. Justeru Thaipusam diraikan sebagai tanda penghormatan masyarakat Hindu kepada Dewa Murugan melalui pembersihan jiwa dan memohon pengampunan atas dosa-dosa lampau.
Aspek yang ditekankan dalam perayaan ini adalah menentang kebatilan. Maka perayaan ini disambut dengan kesadaran menentang keangkuhan kuasa, rasuah dan penindasan melalui penghayatan jatidiri mereka. Dalam konteks Malaysia amnya, sewajarnya ini mendorong persefahaman tatkala kita meraikan jamak budaya dan kepelbagaian yang menjadi identiti Malaysia sekian lamanya.
Semoga perayaan ini memperkukuhkan tekad untuk membangun Malaysia sebagai sebuah negara yang adil serta terus megah berdiri sebagai sebuah negara yang meraikan kepelbagaian dan menghormati perbezaan. Selamat menyambut Hari Thaipusam buat seluruh masyarakat Hindu Malaysia.
ANWAR IBRAHIM

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Ahad 8 Feb

SEKRETARIAT Pakatan Rakyat mengesahkan laporan bahawa Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan diadakan pada 8 Februari 2015 di Pejabat PAS Jalan Raja Laut jam 2:30 petang.

Mesyuarat tersebut dijangka dihadiri semua kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat yang akan membincangkan perkara berbangkit mengenai Pakatan Rakyat. Sekretariat percaya ini akan seterusnya mengukuhkan persepakatan semua parti dalam Pakatan Rakyat.

Pihak media dijemput hadir membuat liputan pada sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Shabrimi Sidek
Setiausaha Eksekutif
Sekretariat Pakatan Rakyat

3 Februari 2015

Allah menjadi saksi, saya tidak akan mengalah — Anwar Ibrahim

SAYA kekal dengan pendirian tidak bersalah ke atas pertuduhan jelek ini- insiden ini tidak pernah berlaku.

Ini merupakan satu fabrikasi lengkap yang terhasil daripada satu konspirasi politik untuk menamatkan kareer politik saya.
Kalian tidak langsung memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas fakta kes yang diketengahkan oleh peguam saya sebermula hari pertama lagi – betapa insiden ini tidak pernah berlaku sama sekali.

Saya mampu memandang ke hadapan, tetapi melihat kepada kenyataan anda hari ini, nyata sekali ia sia-sia. Kelihatan seperti saya diperlekeh sekali lagi sebagaimana yang berlaku di Mahkamah Rayuan, dan ia terus dilakukan di sini selepas kami mengharungi ranjau perbicaraan selama 8 hari!

Bukan satu kebetulan bagaimana Pejabat Perdana Menteri mampu mengeluarkan kenyataan bertulis penuh atas keputusan kalian hanya beberapa minit selepas kalian menyampaikan penghakiman sebelum menjatuhkan hukuman.

Tatkala tunduk patuh pada perintah penguasa politik, kalian telah menjadi sebahagian daripada rakan kongsi dalam jenayah pembunuhan integriti dan kebebasan kehakiman. Kalian telah menggadaikan jiwa kalian kepada syaitan, menukarganti hati nurani kalian dengan keuntungan materialistik dan kesenangan serta jaminan jawatan.

Kalian mempunyai kesempatan terbaik untuk menebus kekhilafan – dengan memperbetulkan kesalahan masa lalu dan meletakkan kehakiman atas paksi yang benar serta mengukir nama kalian untuk anak-cucu kalian kenangi sebagai pembela keadilan yang sebenar-benarnya.

Akan tetapi kalian memilih untuk kekal di sisi gelap dan menenggelamkan moral kalian dalam kancah kepalsuan dan tipu muslihat. Apakah kalian tahu betapa kalian kini sedang bergelumang kekotoran dan penipuan lantas ketidakadilan tersebut akan menyelinap di setiap sudut Istana Kehakiman ini, dan saya bersimpati kepada kalian.

Benar, kalian telah menghakimi saya – dan saya akan, untuk ketiga kalinya, melangkah ke penjara, tapi ketahuilah yang saya sama sekali tidak akan tunduk. Cahaya kekal menyinari saya.

Tetapi kalian yang harus berasa malu tatkala kalian akan dinilai sejarah sebagai pengecut terulung atas nama kemanusiaan. Dengan kedudukan dan kuasa kehakiman yang tinggi, kalian membungkam begitu rendah untuk diperalat oleh penguasa politik.
Mahasiswa undang-undang dan kalangan professor jurispruden akan meneliti penghakiman kalian dan di saat mereka membedah alasan serta keputusan kalian, kredibiliti dan integriti kalian akan dicarik halus. Di saat itu kalian akan didedah sebagai perekayasa yang memakai jubah kehakiman hanya untuk memperlekeh keadilan.

Jangan sesekali kalian lupa, sebagaimana kita semua, kalian juga harus menjawab kepada Sang Pencipta. Kalian harus menjawab kenapa kalian berpaling daripada prinsip-prinsip yang telah kalian lafaz dan sumpah untuk ditegakkan.

Mereka yang datang ke kamar mahkamah perlu menunduk hormat dan memanggil kamu sebagai Yang Arif, tetapi tidakkah kamu tahu bahawa satu hari nanti kamu juga perlu menjawab kepada Yang Maha Arif? Di saat itu kamu memerlukan lebih daripada tunduk hormat untuk menghuraikan mengapa kamu dengan sengaja melanggar perintah Allah melalui Ayat 58 Surah An-Nisa.

Melangkah ke penjara, saya anggap sebagai satu pengorbanan buat rakyat Negara ini Saya telah berjuang hampir seluruh kehidupan saya demi rakyat Negara ini – dan demi rakyat jugalah saya bersedia untuk ke penjara dan menghadapi sebarang bentuk akibat.

Perjuangan saya akan diteruskan, ke mana saja saya dihantar dan apa jua yang diperlakukan ke atas saya.

Kepada sekalian sahabat dan rakyat Malaysia, izinkan saya merakamkan penghargaan jauh dari sanubari saya atas setiap dokongan yang telah diberikan. ALLAH SWT menjadi saksi, saya berjanji tidak akan didiamkan, saya akan berjuang untuk kebebasan dan keadilan dan saya tidak akan menyerah!

ANWAR IBRAHIM
10 FEBRUARI 2015

*Ini adalah catatan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ke penjara.

MB Selangor batalkan projek Lebuhraya KIDEX

KERAJAAN Negeri Selangor mengamalkan pendekatan mengambil kira pandangan orang ramai dalam menentukan kelulusan sesebuah projek agar ia membawa manfaat menyeluruh. Selain dari pembangunan ekonomi, pentadbiran Negeri Selangor turut menitikberatkan sumbangan sosial dan manusiawi dalam setiap projek yang diluluskan. Dasar pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli akan menjadi teras dalam setiap pembangunan di Negeri Selangor.

Pertikaian mengenai kelulusan Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) sebelum ini banyak berkisar kepada persoalan - persoalan ini.

Kerajaan Negeri telah menggunapakai maklum balas orang ramai yang terbabit untuk menetapkan syarat - syarat khusus yang perlu dipatuhi. Kerajaan Negeri juga berpendirian bahawa pembinaan lebuhraya dalam Negeri Selangor perlulah bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi juga dinikmati oleh penduduk di mana lebuhraya itu dibina. Pendirian ini telah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2015 di Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 24 November 2014.

Justeru, pihak konsesi KIDEX perlu memenuhi syarat - syarat berikut :

1. Menyediakan Penilaian Impak Lalulintas (Traffic Impact Assessment) yang bebas, Penilaian Impak Sosial (Social Impact Assessment) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment). Kajian - kajian ini perlu membuktikan manfaat yang ternyata kepada pihak pengguna dan penduduk kawasan yang terlibat setelah mengambil kira kesan negatif yang timbul akibat pembinaan lebuhraya tersebut.

2. Mendedahkan kadar tol sepanjang tempoh konsesi termasuk segala kenaikan tol yang ditetapkan dalam konsesi. Pihak konsesi perlu memberikan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan (rate of return to investment).

3. Mendedahkan perjanjian konsesi sepenuhnya untuk mematuhi dasar kerajaan Pakatan Rakyat yang menegaskan ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada KIDEX untuk mematuhi syarat - syarat ini sebelum 14 Februari 2015. Oleh kerana tidak ada satu pun syarat - syarat ini yang dipatuhi oleh KIDEX setelah tempoh masanya tamat, maka Kerajaan Negeri Selangor dengan ini mengumumkan pembatalan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX).

Pendekatan yang sama akan digunakan dalam mempertimbangkan permohonan kelulusan oleh lebuhraya - lebuhraya lain yang dicadangkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Selangor.

MOHAMED AZMIN ALI

‎‎Perutusan Tahun Baru Cina 2015 Dr Wan Azizah

SEBAGAIMANA biasa Tahun Baru Cina bakal diraikan oleh masyarakat Tiong Hua di samping keluarga serta sahabat handai.

Uniknya di Malaysia ia diraikan dengan kesantunan dan toleransi bersama-sama masyarakat Melayu, India,Sikh Iban, Kadazan,Dayak,orang asli dan orang asal dengan penuh semangat kekeluargaan.

Tahun ini menyaksikan Tahun Kambing Kayu yang merupakan zodiak ke-8 daripada 12 zodiak Kalendar Cina, yang pastinya sinonim dengan keuntungan kemakmuran dan pendamaian.

Tahun Kambing membawa signifikan tersendiri, diasosiasikan dengan keadilan dan kesejahteraan. Sanak saudara dan ahli keluarga akan berkumpul memeriahkan suasana, menghangatkan lagi kemeriahan perayaan.

Namun di sebalik kemeriahan ini, cabaran besar sedang menanti kita. Kita sedang dan bakal berhadapan dengan pelbagai rencam permasalahan: baik dari aspek ekonomi yang kurang memberangsangkan; politik yang masih dibelenggu mentaliti perkauman; kebebasan institusi kehakiman yang terus dipersoal dan jurang keadilan sosial yang semakin menampakkan kesenjangan.

Komitmen masyarakat dalam menempuh perubahan untuk dilaksanakan adalah amat signifikan, dan pastinya dengan semangat Tahun Kambing ini komitmen tersebut digarap dengan lebih ampuh untuk mendorong keadilan terus ditegakkan buat seluruh rakyat Malaysia melangkaui perbezaan agama, ras dan perbezaan politik.

Marilah kita istiqamah dengan perjuangan ini;

sesuai dengan pepatah Cina yang menyebut, "manusia yang mampu mengalih gunung adalah mereka yang bermula dengan mengalih batu kecil secara bertahap".

Komitmen dan dorongan semua, meskipun kecil tetap besar nilainya untuk sebuah perjuangan yang akhirnya memenangkan rakyat.

Mewakili Dato' Seri Anwar Ibrahim dan seluruh saf kepimpinan serta akar umbi KEADILAN, kami mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2015 dengan ucapan Gong Xi Fa Cai dan Xin Nian Kuaile.

Moga usaha kita memerangi sistem yang korup mampu melahirkan sebuah negara yang adil, damai dan makmur.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN

17 Februari 2015

Polis halang peguam bertemu Adam Adli dan Fariz Musa

SALAH seorang dari para peguam yang mewakili Adam Adli dan Fariz Musa, melalui laman twitter melontarkan persoalan apabila dihalang bertemu dengan anak guam mereka di Lokap Jinjang.

‎Peguam, Mitchell Yesudas di laman twitter menulis,

"‎According to CPC, clients are entitled to legal counsel, why are the police denying our entry to see our clients?"

(Mengikut Kanun Prosedur Jenayah, tertuduh dibenarkan untuk mendapatkan peguam. Kenapa polis halang kami masuk untuk bertemu anak guam?)

Himpunan Aman, solidariti untuk Anwar Ibrahim, #KitaLawan yang berlangsung di depan SOGO petang tadi berakhir dengan penangkapan aktivis anak muda, Adam Adli dan pemimpin KEADILAN yang juga Ketua Koordinator Jingga 13 Malaysia, Saudara Fariz Musa.

Berikut gambar-gambar ketika Adam Adli dan Fariz Musa ditahan polis petang tadi. Adam ditahan oleh polis berpakaian biasa manakala Fariz Musa ditahan oleh anggota polis memakai 'vest' hijau.


Pihak polis disifatkan melanggar undang-undang apabila menghalang para peguam untuk bertemu‎ dengan anak guam mereka di Balai Polis Jinjang sedangkan, hak memperolehi wakil peguam oleh 'orang kena tahan' termaktub dan dijamin dalam perlembagaan.


Pendidikan Malaysia setaraf negara maju hanya retorik dan ilusi — Nurul Izzah

SAYA merujuk kepada kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata "Pendidikan tinggi negara kini setaraf dengan di negara maju termasuk United Kingdom, Jerman dan Australia dari segi kualiti pendidikan." Beliau menyokong hujahnya dgn mengatakan bahawa terdapat lebih 135,000 pelajar asing yang sedang mengikuti pengajian di beberapa buah universiti tempatan di negara ini."
Kenyataan Menteri ini amat naif; kewujudan pelajar asing di Malaysia secara automatik menobatkan pendidikan negara hebat di mata dunia. Logik sebegini memperlihatkan jua Malaysia selaku negara maju kerana ramai pekerja asing yang datang mahu bekerja di Malaysia.

QS World Ranking 2014 tidak memperlihat sebuah pun universiti-universiti Malaysia tersenarai di dalam ranking 100 teratas. Sebagai perbandingan, terdapat 19 Universiti daripada United Kingdom, 3 universiti dari Jerman, dan 8 universiti daripada Australia yang berjaya tersenarai ranking 100 teratas.

Lebih dekat dengan Malaysia pula memperlihatkan 4 universiti dari China, 2 universiti dari Singapura dan 3 universiti dari Korea Selatan meraih Kedudukan 100 teratas senarai tersebut. Laporan EPU dengan kerjasama Bank Dunia pula mendapati bahawa syarikat-syarikat tempatan bersetuju bahawa graduan Malaysia luar negara lebih bermutu berbanding graduan universiti tempatan, dan graduan luar negara lebih mahir dalam pelbagai kemahiran termasuk teknikal.

Skor purata universiti asing berbanding universiti awam tempatan bagi kemahiran-kemahiran ini ialah 3.69 berbanding 3.26, 3.97 berbanding 3.02 dan 3.44 berbanding 3.01 masing-masing. Laporan EPU itu juga menyebutkan bahawa Malaysia perlu memberikan perhatian yang lebih besar kepada kekurangan-kekurangan yang ada pada sistem pendidikan untuk meningkatkan peluang pelajar-pelajar untuk mendapatkan pekerjaan sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.
Dalam laporan "Malaysia Economic Monitor, June 2014: Boosting Trade Competitiveness", Bank Dunia mendapati bahawa dalam tahun 2012, seramai 51,835 daripada 202,328 graduan (25.5%) tidak mempunyai pekerjaan. Statistik di atas menunjukkan kenyataan Datuk Seri Idris amat naif dan tidak tepat.

Datuk Seri Idris juga berkata, "Malaysia kini menduduki tempat ke-9 daripada 30,000 universiti di seluruh dunia yang menjadi tarikan pelajar asing untuk datang belajar dalam pelbagai bidang pengajian."

Pertama, universiti manakah yang dimaksudkan memandangkan Malaysia bukanlah sebuah universiti?

Kedua, pelajar-pelajar asing ini berasal dari mana? Adakah daripada negara-negara seperti United Kingdom, Jerman atau Australia? Ketiga, apakah sebuah kajian telah dijalankan untuk mengetahui faktor-faktor sebenar yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka?
Seperti kenyataan saya sebelum ini dan pendapat-pendapat pemikir bidang pendidikan, pentingnya kebebasan akademik untuk mengangkat martabat dan mutu pendidikan negara. Menteri tetap gagal mengambil kira aspek kebebasan akademik pelajar.

Walaupun Perenggan 15(2)(c) daripada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) digugurkan, namun kebebasan pelajar serta ahli akademik terus disekat dengan penggunaan-penggunaan undang-undang lain. Ini dibuktikan dengan penangkapan dan penghukuman ke atas pelajar seperti Adam Adli dan Fahmi Zainol yang dihukum oleh universiti masing-masing. Malah, pensyarah dan ahli akademik juga disekat kebebasan akademiknya, seperti Professor Azmi Sharom yang didakwa dibawah Akta Hasutan.

Saya pernah mencadangkan supaya sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen dwi-partisan untuk sistem pendidikan ditubuhkan bagi mengkaji dan mencadangkan penambah-baikkan kepada sistem pendidikan Malaysia.
Selain daripada itu, sebuah Majlis Pendidikan Kebangsaan yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada kesemua pemegang hak termasuk parti politik, para akademik dan wakil-wakil yang berkenaan perlu ditubuhkan segera bagi menyelesaikan kelemahan-kelemahan yang ada, pada kesemua peringkat, rendah, menengah dan tinggi, dengan kadar segera.

Justeru, saya ingin mengingatkan Menteri untuk berhenti bersembunyi dibelakang angka-angka yang tidak mempunyai sebarang makna, terutamanya dalam konteks yang kabur seraya melaungkan universiti kita hebat. Kita wajar jujur, ikhlas menilai kelemahan pendidikan demi untuk bergerak kehadapan dengan teratur dan baik.

NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI
NAIB PRESIDEN KEADILAN
PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA PUSAT KEADILAN

22 Februari 2015

Petisyen Pengampunan kepada Agung inisiatif keluarga — Nurul Nuha

Assalamualaikum dan salam hormat.
Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa.
Bagi pihak keluarga kami, saya dengan penuh rasa rendah diri ingin menyampaikan rasa terharu dan bersyukur ke hadrat Illahi dengan sokongan dan semangat solidariti daripada rakan-rakan serta para penyokong di dalam dan dari luar negara.
Hari ini merupakan minggu kedua ayah kami Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan sebagai tahanan politik Malaysia.
Atas inisiatif keluarga, kami memutuskan untuk menghantar petisyen kepada Duli Yang Maha Mulia Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah Yang Dipertuan Agong - berdasarkan berlakunya pengenepian prinsip-prinsip keadilan dan pembelaan daripada penganiayaan fitnah ke atas Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahkamah mungkin telah menjatuhkan hukuman bersalah tetapi, namun ayahanda kami tidak bersalah. Justeru itu kami membuat permohonan petisyen bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Kami meletakan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik maupun mana-mana cabang kerajaan bersesuian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui intitusi Raja Berperlembagaan.
NURUL NUHA ANWAR
Penyelaras
#March2Freedom

Atasi ancaman keganasan, jangan gadai prinsip Keadilan dan hak kemanusiaan — KEADILAN

KEADILAN mengecam rancangan kerajaan untuk memperkenalkan akta baru anti-terrorisme dalam sidang Parlimen bulan Mac ini seperti yang dilaporkan dalam portal Malaysian Insider hari ini.

Kecaman ini dibuat berdasarkan pelanggaran yang boleh berlaku terhadap prinsip keadilan dan kebebasan asas hak asasi manusia seperti mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Ini terutamanya apabila sesebuah akta baru itu memiliki ciri-ciri seperti penahanan tanpa bicara, ruang tafsiran yang terlalu kabur dan penguatkuasaan yang tiada unsur semak dan imbang.

Ini juga bercanggah dengan saranan Perdana Menteri untuk menegakkan maqasid syariah yang jelas tidak akan menggadaikan prinsip keadilan dan kemanusiaan dalam memelihara maruah insan.

Menurut sumber yang dipetik Malaysian Insider, akta baru berkenaan akan mempunyai peruntukan yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan penggunaan peranti pengawasan elektronik selain memiliki ciri-ciri yang hampir serupa dengan Akta Pencegahan Jenayah (POCA 1959), (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 yang membenarkan suspek jenayah ditahan tanpa bicara sehingga dua tahun.

Harus diingat walaupun POCA dikatakan hanya untuk dikenakan ke atas penjenayah tetapi ia telah dipinda untuk mengetatkannya lagi dengan memasukkan mukadimah yang sama seperti ISA dan meluaskan penguatkuasaannya ke seluruh negara.

Pada masa yang sama, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang telah diperkenalkan untuk menggantikan ISA turut ada peruntukan bagi langkah-langkah khas yang berhubung dengan kesalahan keselamatan termasuk keganasan terancang. Akta berkenaan juga ada peruntukan penggunaan peranti pengawasan elektronik.

Malah undang-undang sedia ada yang lain juga telah memasukkan "kesalahan berkaitan keganasan" dalam peruntukannya seperti Penal Code (Amendment) Act 2003, Criminal Procedure Code (Amendment) Act 2006 selain Anti-Money Laundering and Anti-Terrorism Financing Act 2001 (Act 613) yang turut meliputi kesalahan pembiayaan keganasan.

Oleh itu, persoalannya, mengapakah ada keperluan untuk memperkenalkan satu lagi akta baru berhubung keganasan? Tidakkah akta yang begitu banyak berkaitan keganasan (yang juga ada masalahnya yang tersendiri) tidak memadai?

Atau jawapan sebenar kepada kaedah menangani keganasan ialah dengan memastikan kecekapan pihak Polis dan kerja-kerja perisikan dalam menjalankan siasatan dan dakwaan di samping mewujudkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang telah dicadangkan sejak 2005?

Pihak Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini tanpa ragu-ragu dan tidak mengulangi kesilapan yang dibuat ketika pelaksanaan ISA secara zalim.

Pihak Kerajaan wajib memberikan penjelasan dan mendapatkan pandangan daripada NGO, Majlis Peguam dan pihak yang berkepentingan sebelum akta baru dibentangkan di Parlimen.

KEADILAN memandang berat ancaman keganasan ke atas keamanan dan keselamatan negara malah menyokong penuh usaha-usaha untuk menangani keganasan sama ada oleh kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan.

Atas sebab itulah, KEADILAN percaya semua pihak sama ada kerajaan, parti-parti politik, badan peguam, agensi keselamatan dan NGO boleh bekerjasama dalam mengemukakan penyelesaian kepada usaha menangani keganasan.

Bagi KEADILAN, apa juga dasar, undang-undang dan tindakan, wajib mengambilkira prinsip keadilan, hak asasi manusia dan kemanusiaan yang menjadi tonggak kepada maqasid syariah.

Satu perseimbangan perlu dicari antara keselamatan awam dan kebebasan rakyat serta selaras dengan kedaulatan undang-undang seperti mana yang dilaksanakan di Indonesia yang mendakwa suspek keganasan di mahkamah secara telus, bukan melalui undang-undang pencegahan rahsia yang boleh membuka ruang salahguna.
SYED IBRAHIM SYED NOH
KETUA PENERANGAN PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN)

Zahid perlu perjelas status kewarganegaraan Paul Phua

MINGGU lalu sebuah laman web telah membuat laporan berita yang berkata bahawa Paul Phua Wei-Seng, yang sedang didakwa di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat, adalah seorang warganegara Montenegro.

Laporan tersebut mengatakan beliau telah mendapat kewarganegaraan Montenegro di antara Oktober 2013 dan Oktober 2014, iaitu sebelum surat bertarikh 18 Disember 2014 yang ditulis Dato' Seri Zahid Hamidi kepada pihak Federal Bureau of Investigations, Amerika Syarikat.

Dalam surat tersebut, Dato' Seri Zahid telah berkata, antara lainnya:

"Mr Phua has, on numerous occassions, assisted the Government of Malaysia on projects affecting our national security and accordingly we continue to call upon him to assist us from time to time…"

dan

"… we are eager for him to return to Malaysia."

Mengikut Perkara 24 (1) Perlembagaan Persekutuan:

"Jika Kerajaan Persekutuan berpuas hati bahawa mana-mana warganegara telah memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan) maka Kerajaan Persekutuan boleh melalui perintah melucutkan kewarganegaraan orang itu."

Maka, jika laporan berita ini benar, status kewarganegaraan Paul Phua boleh dipersoal. Ini membawa implikasi yang cukup serius dan membangkitkan soalan-soalan berikut:

1) Adakah Paul Phua Wei-Seng masih seorang warganegara Malaysia?

2) Adakah Dato' Seri Zahid tahu status kewarganegaraan Paul Phua Wei-Seng sewaktu beliau menulis surat kepada pihak FBI?

3) Jika Paul Phua bukan lagi warganegara Malaysia, adakah beliau masih membantu Kerajaan Malaysia di dalam "projek-projek yang melibatkan keselamatan negara"?

Saya percaya rakyat Malaysia mahu Dato' Seri Zahid memberikan satu penjelasan yang menyeluruh mengenai isu ini.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi
Naib Ketua AMK

4 Mac 2015

Polis tiada kuasa untuk istiharkan perhimpunan #KitaLawan sebagai haram


SAYA merujuk kepada laporan berita bahawa Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah telah mengisytiharkan perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 ini sebagai perhimpunan haram, dengan alasan bahawa penganjur kononnya tidak ada memberikan notis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 ('APA 2012').

Pihak polis tidak boleh seakan-akan tidak sedar atau ingat akan kes landmark Nik Nazmi lwn Pendakwa Raya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014, yang telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 9(5) APA 2012, yang menyatakan bahawa seseorang penganjur perhimpunan aman jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000.00 sekiranya tidak memberi notifikasi 10 hari sebelum perhimpunan, bukan lagi undang-undang yang boleh dikuatkuasa kerana telah diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan dan oleh itu tidak sah dan batal. Mahkamah Rayuan juga telah memutuskan bahawa suatu perhimpunan aman tidak boleh dijenayahkan melalui undang-undang.

Tambahan itu, APA 2012 langsung tidak memberi kuasa kepada pihak polis untuk mengisytiharkan mana-mana perhimpunan sebagai haram dan oleh itu sebarang percubaan untuk menyekat perhimpunan aman #KitaLawan adalah di luar batasan kuasa polis. Pihak polis tidak wajar mengelirukan orang ramai berkenaan perkara ini.

Saya juga mengingatkan pihak polis bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk membantu perjalanan perhimpunan #KitaLawan, bukan menyekat perhimpunan aman tersebut.

Akhir sekali, saya menyeru kepada orang ramai untuk menyertai #KitaLawan dan mengamalkan hak berhimpun secara aman yang sememangnya telah termaktub dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

MELISSA SASIDARAN
Ketua Biro Pendidikan Politik
Angkatan Muda KEADILAN

Pemerhati antarabangsa akan sertai Himpunan #KitaLawan 7 Mac 2015

AMARAN pihaj polis yang menyebut bahawa Himpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 sebagai himpunan haram adalah tidak berasas. Undang-undang secara jelas menyatakan hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Manakala pandangan daripada pihak peguam dan pakar undang-undang adalah konsisten yang menjelaskan tugas polis adalah bukan untuk menghalang tetapi memudah cara dan membantu melancarkan pergerakan Himpunan.

Rancangan Himpunan #KitaLawan pada 7 Mac 2015 juga telah dimaklumkan kepada pertubuhan-pertubuhan berkaitan undang-undang dan hak asasi manusia dalam dan luar negara.

Kami menyambut baik kesediaan Majlis Peguam Malaysia(Malaysian BAR) yang akan menghantar satu pasukan pemantauan (monitoring team) pada hari Sabtu ini. Kami juga mengalu-alukan kehadiran satu delegasi pemerhati antarabangsa berkaitan hak asasi manusia yang akan turut bersama menyertai Himpunan #KitaLawan Sabtu ini.

Justeru itu, kami menyeru rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai bersama dengan anak muda Sabtu ini bagi menyatakan hak kita untuk berhimpun secara aman. Anak muda juga sekali lagi memohon kerjasama pihak polis untuk jalankan tugas mereka seadilnya dan mesra rakyat. Himpunan #KitaLawan akan bermula jam 3.00 petang di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibupejabat PAS sebelum kita bergerak beramai-ramai ke Sogo.

Sebarkan.

5 MAC 2015
SEKRETARIAT #KITALAWAN

Tuesday, 28 April 2015

Guru putus jari akibat anak murid cuai tutup pintu kereta


SEORANG guru putus bahagian hujung jari telunjuk ‎dikatakan akibat salah seorang anak muridnya yang cuai menutup pintu kereta dengan kuat sehingga menyebabkan jari guru tersepit dan putus.

Guru malang bernama ‎Sharipuddin Jaafar yang bertugas di Sekolah Menengah Bukit Mercu Kuala Kangsar itu bagaimanapun dikatakan telah memaafkan anak muridnya kerana faham perbuatan itu tidaklah disengajakan.

Sayu hati mengetahui kejadian ini, betapa mulia hati seorang pendidik, dengan mudah memaafkan kesilapan anak muridnya. Kesakitan di jari tidak pernah mengatasi kasih sayang dan amanah di hatinya di dalam mendidik anak bangsa.

"Bayangkan jika jari anak murid yang putus..."

Ahmad Maslan tuduh peniaga pro pembangkang naikkan harga barang

‎NAMPAKNYA dimaki hamun dan diberi jolokan 'menteri bodoh' oleh orang ramai akibat mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh terutama berkenaan GST tidak pernah menginsafkan Ahmad Maslan.

Sebaliknya beliau yang juga Ketua Penerangan Umno ini‎ nampaknya semakin ghairah mengeluarkan lebih banyak kenyataan bodoh yang pastinya membuatkan rakyat terutama pengguna media sosial hilang sabar, lantas menghamburkan pelbagai kutukan kepada beliau.

‎Terbaru, gara-gara mahu menegakkan benang basah apabila teori bodohnya yang mendakwa harga barang turun bila GST dilaksanakan hanyalah cerita dongeng, Ahmad Maslan cuba mencari pihak tertentu untuk dituduh dan dipersalahkan sebagai penyebab kenaikan harga barang di Malaysia.

‎Melalui akaun twitter miliknya, untuk menutup kelemahan cukai rakus GST, beliau menuduh peniaga pro pembangkang sebagai penyebab kenaikan harga barang.

Seperti biasa, kenyataan itu dihujani kutukan, perli dan maki hamun para pengguna twitter yang memberikan respon secara terus kepada akaun twitter ‎milik Ahmad Maslan.
Aku tak faham, apa guna Ahmad Maslan jadi menteri? Adakah dia diberikan portfolio khas untuk menyalahkan pihak lain bila dasar kerajaan tidak berjalan seperti yang dia mahu?

Sebelum laksanakan GST bukan main pukul canang kononnya kerajaan Barang Naik sudah cukup bersedia untuk mulakan GST. Persediaan apa yang dibuat? Persediaan untuk salahkan orang?

‎Aku syak Ahmad Maslan memang diarahkan supaya mengeluarkan kenyataan-kenyataan bodoh tentang GST agar rakyat tidak begitu tertumpu kepada serangan bertali arus Dr Mahathir kepada pentadbiran Najib.

Serangan Dr Mahathir kepada Najib tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti bagi memastikan anaknya Mukhriz Mahathir‎ menjadi Perdana Menteri.

"Wawasan 2020 — Mukhriz jadi PM"‎

Panas! Pimpinan Tertinggi Umno beri amaran kepada Ahmad Maslan


‎PAGI tadi Ahmad Maslan buat hal lagi, apabila mengeluarkan tweet merapu menuduh peniaga pro pembangkang sebagai punca kenaikan harga barang —peniaga pro pembangkang naikkan harga barang




Barangkali kerana bimbang dengan keghairahan Ahmad Maslan yang berterusan mengeluarkan kenyataan bodoh tentang GST, beliau dilaporkan telahdiberi amaranoleh pimpinan tertinggi Umno‎.




Kenyataan bodoh Ahmad Maslan tentang GST dibimbangi akan mengurangkan majoriti kemenangan Barisan Nasional di PRK Rompin, serta menggagalkan cita-cita BN untuk menawan kerusi Parlimen Permatang Pauh.





Nampaknya pemimpin tertinggi Umno‎ sendiri tidak sanggup mempertahankan cukai GST yang sebelum ini bermati-matian didukung dan disokong oleh mereka.





Bila majoriti rakyat‎ tidak menyokong perkara yang dikatakan baik oleh kerajaan, itu tandanya kerajaan sedang 'syok sendiri' dan tidak memahami suara hati rakyat.





Bantah cukai rakus! #BantahGST — Pastikan BN kalah teruk di PRK Permatang Pauh dan Rompin





Jangan lupa!


Tandatangan dan sebarkan,





Petisyen bantah Cukai Rakus GST Sila klik laman web —bantahgst.com